Tiada persamaan antara agama

Ahad, 12 Julai 2009
SETIAP agama mempunyai kepercayaan dan akidah masing-masing. Persoalan utama yang dibahaskan oleh ahli-ahli agama ialah "siapakah Tuhan yang perlu disembah?"

Perkara ini dihuraikan oleh ahli-ahli agama berdasarkan kepada konsep ketuhanan yang diwarisi atau diriwayatkan daripada nenek moyang masing-masing atau kitab-kitab suci yang diturunkan kepada manusia.

Islam merupakan agama Allah yang diturunkan kepada para Rasul dan Nabi sejak Nabi Adam a.s. sehingga Nabi Muhammad SAW.

Perbezaan antara agama dengan agama yang lain adalah berdasarkan kepada perbezaan akidah. Akidah agama Islam ialah mempercayai Tuhan Yang Maha Esa. Tidak ada sebarang makhluk yang bersekutu atau menyerupai-Nya.

Berdasarkan kepada akidah ini maka perkataan Allah dirujuk sebagai nama Tuhan Yang Maha Esa mengikut kefahaman umat Islam.

Islam tidak menerima sebarang huraian mengenai Allah yang mempunyai sebarang unsur menyerupai makhluk.

Oleh itu jika nama Allah digunakan dalam agama tertentu tetapi huraian mengenai Allah lebih menjurus kepada konsep yang berunsurkan pantheism (kepercayaan agama bahawa Tuhan berada dalam diri setiap makhluk dalam alam) serta incarnation (penjelmaan seseorang dalam bentuk manusia yang dianggap sebagai mewakili seseorang yang paling tinggi darjatnya) maka pemahaman begini ditolak oleh Islam.

Dalam era globalisasi, kemungkinan terdapat agama yang berusaha untuk meyakinkan umat Islam bahawa agama ini mempunyai persamaan dengan agama mereka apabila perkataan Allah disebut sebagai Tuhan mereka juga.

Usaha begini tidak mungkin menjadi kenyataan kerana dalam akidah Islam, perbicaraan mengenai 'ketuhanan' bukan hanya sekadar menyebut nama Allah sebagai Tuhan semesta alam tetapi ia merangkumi setiap aspek berkaitan dengan Rukun Islam dan Rukun Iman.

Agama Yahudi mempercayai Allah Yang Maha Esa yang dikenali sebagai Yehweh dalam bahasa Hebrew. Mereka juga mempunyai banyak persamaan dengan Islam berkaitan dengan hukum-hakam tetapi penafian mereka terhadap kerasulan Nabi Isa a.s dan Nabi Muhammad SAW (yang merupakan salah satu Rukun Iman) menyebabkan agama itu tidak mempunyai persamaan dengan agama Islam.

Orang Kristian mempercayai Allah SWT sebagai Tuhan Pencipta Alam. Namun apabila mereka menghuraikan isu Ketuhanan dalam konsep Trinity di mana Isa itu juga dianggap Allah maka huraian tersebut bertentangan dengan konsep Tauhid (Tuhan Yang Maha Esa) seperti dijelaskan oleh Islam.

Oleh itu konsep Allah yang dijelaskan oleh ahli-ahli teologi Kristian tidak dapat diterima oleh Islam. Walaupun terdapat beberapa persamaan antara Islam dan Kristian dalam hal ehwal berkaitan konsep tawaduk dan nilai-nilai murni berkaitan dengan kasih sayang sesama manusia yang menjadi amalan kepada umat kedua-dua agama ini.

Sifat tawaduk dan tingkah laku yang baik di kalangan ahli-ahli kitab Kristian dipuji oleh Allah di dalam al-Quran. Ini menunjukkan bahawa Islam tidak menafikan kebaikan dan tingkah laku terpuji ahli-ahli kitab agama Yahudi dan Kristian tetapi konsep akidah mereka terkeluar daripada Rukun Islam dan Rukun Iman maka secara tegas Islam menyatakan bahawa agama Kristian dan Yahudi tidak sama dengan Islam. Agama-agama itu tidak mewakili umat Islam dan umat Islam tidak mewakili mereka.

Apa yang dibahaskan oleh Islam berkaitan dengan Kristian di dalam al-Quran ialah berdialog dengan mereka supaya memperbetulkan konsep kepercayaan mereka mengenai Allah dan menyeru mereka kembali kepada seruan Nabi Isa a.s iaitu menyembah Allah Yang Maha Esa dan bukan beranggapan bahawa Isa itu adalah anak Allah.

Islam begitu prihatin terhadap ahli kitab dan penganut Kristian berkaitan salah anggap mereka mengenai Isa a.s dan memujuk mereka supaya kembali kepada seruan Isa a.s yang sebenarnya iaitu menyeru manusia menyembah Allah bukan menyembahnya yang dianggap sebagai jelmaan Allah untuk menghapuskan dosa warisan manusia (original sin).

Islam menyeru umatnya memperakui nilai-nilai yang baik terdapat dalam agama lain tanpa mengorbankan konsep dan prinsip fundamental Islam. Ia menyeru umatnya supaya bekerjasama dengan penganut agama lain dalam hal ehwal berkaitan dengan kemanusiaan, keamanan, kebajikan, kenegaraan dan keduniaan.

Hak-hak orang bukan Islam terjamin dalam negara Islam kerana Islam ialah agama yang prihatin terhadap kesejahteraan dan keamanan. Islam tidak menafikan konsep hidup yang berasaskan kepada unity and diversity (kesatuan dan perbezaan).

Perbezaan atau kepelbagaian agama tidak membantutkan usaha manusia untuk membentuk keamanan dan kemakmuran dunia.

Oleh itu, perkara-perkara berkaitan dengan fundamental agama atau akidah setiap agama tidak perlu disatukan untuk menunjukkan persamaan agama demi membentuk masyarakat dunia yang sama dalam pelbagai aspek kehidupan.

Usaha begini tidak mungkin berjaya kerana manusia bermusuhan sesama sendiri bukan disebabkan oleh perbezaan akidah tetapi ia berkaitan dengan sikap dan tingkah laku manusia yang sering dihasut oleh hawa nafsu, ketamakan, kerakusan, keangkuhan dan kekuasaan.

Sejarah menunjukkan bahawa kepelbagaian dan perbezaan akidah bukan faktor utama yang menyebabkan manusia sering bermusuhan. Peperangan dan permusuhan wujud akibat ketidakadilan, kekejaman, kezaliman, kemiskinan, dan salah faham terhadap konsep hidup di dunia ini.

Apabila Nabi Muhammad SAW menubuhkan negara Islam di Madinah, masyarakat Yahudi dan Kristian bebas menganut dan beramal dengan ajaran agama mereka.

Rasulullah SAW mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat Kristian dan Yahudi. Baginda sering berbincang dengan ketua-ketua agama Yahudi dan Kristian berkaitan dengan undang-undang agama-agama tersebut apabila berdepan dengan permasalahan berkaitan salah laku penganut agama tersebut.

Baginda tidak mencampuradukkan perundangan tersebut dengan undang-undang peribadi Islam.

Berdasarkan kepada fakta sejarah dan konteks ajaran Islam maka umat Islam sepatutnya menyedari bahawa perkara-perkara berkaitan dengan akidah dan fundamental Islam tidak boleh dicampuradukkan dengan akidah agama lain.

Perkara berkaitan dengan akidah Islam tidak boleh dihuraikan mengikut pandangan akal atau ijtihad kerana ia merupakan asas kepada agama Islam sejak Nabi Adam a.s. sehinggalah kepada Nabi Muhammad SAW. Perkara-perkara berkaitan dengan akidah Islam ialah satu ilmu yang diajarkan oleh Allah SWT kepada para nabi dan rasul melalui Jibrail.

Perbuatan menggunakan akal untuk menghuraikan perkara-perkara berkaitan akidah dengan tujuan menyesuaikannya dengan konteks masa kini bukan sahaja boleh menggugurkan akidah individu tersebut malah ia juga boleh menghancurkan agama Islam.

Umat Islam perlu memahami batas-batas penggunaan akal berkaitan dengan ilmu wahyu kerana ilmu tersebut tidak sama dengan ilmu-ilmu yang berunsurkan keduniaan yang mana ia boleh dicapai melalui pancaindera dan akal.

Ilmu-ilmu wahyu berhubung kait dengan syariah sebahagiannya boleh dihuraikan melalui akal oleh orang yang hanya pakar dalam bidang ilmu tersebut dan terdedah dengan disiplin ilmu Islam.

Umat Islam yang tidak pakar dalam ilmu-ilmu wahyu sepatutnya menumpukan perhatian kepada bidang masing-masing dan bekerjasama dengan ahli-ahli ilmu wahyu untuk menyelesaikan permasalahan masyarakat, bukan menunjukkan sikap terlalu agresif sehingga berani merombak dan menghuraikan ilmu-ilmu wahyu mengikut pemahaman akal mereka yang terbatas.

Sikap begini boleh menyebabkan agama Islam dipandang rendah oleh masyarakat agama lain. Oleh itu umat Islam perlu bekerjasama untuk memperkukuhkan akidah umat Islam dan memelihara kesucian agama.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

0 Kata Kau:

UTM Bloggers


Photobucket
Sah Milik : http://mrundercover90.blogspot.com/. Dikuasakan oleh Blogger.