Andakah wanita solehah???

Jumaat, 9 Julai 2010
"Semoga dikurnia suami soleh yang boleh membimbing saya dunia dan akhirat"Jawapan begini biasa diberikan gadis yang bakal mendirikan rumahtangga ataupun pengantin baru. Kebanyakan wanita jika diajukan mengenai jodoh mahukan suami soleh. Tetapi, apakah suami yang diidamkan itu, benar-benar memenuhi keperluan wanita?


Cuba kita jenguk apa yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga selepas doa sigadis untuk mendapatkan 'lelaki soleh' mungkin sudah dimakbulkan Allah. Lelaki yang soleh amat takut kepada Allah. Salah satu bukti ketakutannya kepada Allah ialah mengerjakan solat. Jadi lelaki yang soleh akan menyuruh, malah kekadang sehingga menyuruh, malah memaksa isterinya solat. Tetapi ada isteri yang liat untuk solat, sedangkan sebelum kahwin dia kata dia mahukan suami yang soleh.Sedang si isteri sedap tidur di waktu malam, si suami kejutkan suruh solat tahajud."Apalah suamiku ini?" rungut si isteri.

Dulu si gadis mahukan lelaki soleh, tetapi selepas dapat lelaki soleh yang kejutkan si isteri untuk solat tahajud, dia marah-marah pula.Lelaki yang soleh amat taat kepada Allah. Islam mewajibkan wanita tutup aurat. Jadi suami yang soleh tidak akan benarkan isterinya keluar rumah atau mengenakan pakaian sesuka hati. Atau berhias dan bermekap tebal. Suami yang soleh akan memastikan si isteri tutup aurat. Tetapi ada isteri kurang senang dengan perkara begini.

Bukankah dulu, anda berdoa untuk mendapat suami yang soleh, tetapi bila dimakbulkan anda bantah pula cakapnya!Suami yang soleh tidak akan duduk di rumah sahaja - 'berada di bawah ketiak isteri sepanjang hari'. Ini kerana jihad fisabilillah adalah antara program lelaki soleh. Dia akan sentiasa keluar untuk berjuang. Sama juga dengan mencari rezeki halal, sehingga kadang-kadang balik lewat malam. Ini lagi tak disukai wanita.

Jika dulu anda dambakan suami soleh, bila dah dapat, cara hidupnya pulak yang tak anda sukai.Lelaki yang soleh juga akan menjadikan masjid sebagai 'rumah keduanya'. Ini pun ada wanita tak suka, asyik-asyik ke masjid aje, kata mereka. Lelaki yang soleh amat taat kepada kedua ibubapanya. Malah, baktinya kepada ibubapanya melebihi kepada isteri. Ini menyebabkan sesetengah isteri amat cemburu.

Dulu anda mahukan lelaki yang soleh (amat taat kepada ibunya), bila dah dapat, anda marah pula! Macamana doa anda dulu??Lelaki yang soleh juga tidak hidup bermewah-mewah. Wangnya yang banyak dihabiskan dalam perjuangan. Dia pun takut terima rasuah dan segala macam duit haram. Jadi dia tak dapatlah beri barang-barang mewah seperti rumah besar, kereta besar dan rantai berjela kepada isteri dan keluarganya. Dalam perkara ini pun ada isteri yang tak gemar. Jika dulu doa mahukan suami soleh, tetapi sekarang tidak suka pula sikapnya.Lelaki yang soleh mahu menjauhkan diri daripada maksiat. Dia buat yang halal sahaja.

Salah satu perkara yang halal ialah kahwin empat. Ini memang mana-mana perempuan pantang, malah membenci suaminya kahwin lagi.Bukankah dulu anda mahukan lelaki yang soleh? Demikian banyaknya perkara yang tidak disukai oleh isteri, walaupun doanya dulu mahu mendapat suami yang soleh. Berdasarkan kriteria yang dibincangkan di atas, jelaslah suami yang soleh tidak dapat memberikan sebahagian besar daripada kehendak duniawi si isteri. Si isteri tak perlulah mengeluh, sebaliknya bersyukur kerana doa untuk mendapatkan suami yang soleh, mungkin telah dimakbulkan Allah. Ingatlah, isteri-isteri Rasulullah s.a.w. sendiri pernah ditawarkan pilihan dunia (kesenangan) atau akhirat. Akhirnya mereka memilih akhirat.

AKHLAK DENGAN IBUBAPA

Rabu, 7 Julai 2010
1. Taat kepada kedua ibubapa dalam semua perkara kecuali yang maksiat (derhaka) kepada Allah dan Rasul.

2. Bertutur dengan mereka dengan lemah lembut dan beradab.

3. Berdiri apabila kedua ibubapa masuk atau mendapatkannya.

4. Mencium tangan keduanya pada waktu pagi dan petang atau pada waktu-waktu lain yang munasabah.

5. Sentiasa menjaga kehormatan dan harta keduanya.

6. Memuliakan keduanya dan memberikan apa yang diminta oleh keduanya.

7. Berbincang dengan keduanya dalam apa jua perkara sekalipun.

8. Mendoakan dan memohon keampunan bagi mereka.

9. Sekiranya mereka didatangi tetamu, hendaklah anak-anak duduk di pintu, sentiasa memerhati keduanya, kalau-kalau mereka memberi isyarat supaya mengambil sesuatu dengan diam-diam (tidak diketahui tetamu).

10. Melakukan kerja-kerja yang menyenangkan hati keduanya, walaupun mereka tidak menyuruhnya.

11. Tidak meninggikan suara samada di belakang atau di hadapan mereka.

12. Tidak memotong perbualan mereka.

13. Tidak keluar dari rumah tanpa izin keduanya.

14. Tidak melakukan sesuatu yang boleh memeranjatkan atau mengejutkan mereka ketika mereka sedang tidur.

15. Tidak lebih memuliakan isteri dan anak-anak daripada keduanya.

16. Tidak menghina keduanya jika mereka melakukan kerja-kerja yang tidak menyenangkan.

17. Tidak ketawa berlebihan (berdekah-dekah) di hadapan mereka.

18. Tidak memakan makanan yang dihidangkan untuk keduanya.

19. Tidak memanjangkan tangan untuk mencapai makanan di hadapan mereka.

20. Tidak tidur atau berbaring, sementara ibubapa sedang duduk melainkan mendapat izin dari keduanya.

21. Tidak menjulurkan kaki di hadapan mereka.

22. Tidak masuk sebelum mereka masuk, dan tidak berjalan di hadapan (mendahului) mereka.

23. Menjawab panggilan keduanya seberapa segera yang boleh.

24. Memuliakan sahabat-sahabat mereka, baik ketika mereka masih hidup atau setelah mereka mati.

25. Tidak bersahabat atau bergaul dengan orang-orang yang tidak taat dan derhaka kepada kedua ibubapa mereka.

26. Selalu mengucapkan doa kepada keduanya terutama sekali jika keduanya telah mati, sebagaimana maksud firman Allah di dalam al-Quran: Tuhanku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka telah mendidik aku pada masa kecil.



Isteri beriman bantu kekal kebahagiaan rumah tangga

Isnin, 5 Julai 2010
Sejarah membuktikan wanita bertakwa, taat kepada suami mampu bentuk keluarga harmoni


BERGELAR seorang wanita tidak lengkap kalau tidak menjadi isteri dan ibu. Tetapi tidak semua orang bertuah bertemu jodoh sebelum ajalnya tiba, ada juga yang sudah lama berkahwin tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.

Semuanya ada hikmah yang tidak ternilai di sisi-Nya, cuma manusia yang tidak arif meneropong kehidupan bakal tiba. Isteri yang taat kepada Allah akan taat kepada suaminya, selagi suaminya tidak bermaksiat kepada Allah.

Apa juga kekurangan dan kelemahan suami tidak menjadi halangan untuk isteri yang sedar dengan petunjuk agama terus berbakti dalam rumah tangga. Semua dilakukan untuk mendapatkan keredaan suami yang akhirnya menjadi keredaan Allah.

Banyak teladan buat seorang isteri yang benar-benar ingin melandasi kehidupan rumah tangga dengan sebaiknya. Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan Saidatina Aisyah binti Abu Bakar adalah ibu mukminin yang sentiasa memberi peringatan dan jalan terbaik untuk dicontohi setiap isteri.

Juga, Fatimah Az-Zahrah, puteri Nabi Muhammad SAW contohnya, seorang isteri yang taat dan patuh kepada suaminya, Ali bin Abi Talib. Tidak pernah sekelumit ada rasa kesal di hatinya apabila berkahwin dan mengurus rumah tangga walaupun dengan penuh susah payah.

Asma’ binti Abu Bakar pula sentiasa komited berbakti kepada suaminya, Zubair, walaupun orang yang dinikahinya tidak mempunyai apa-apa harta melainkan seekor kuda. Itulah akhirnya yang menjadi urusan isteri bergelar Asma binti Abu Bakar, memberikan makan dan minum kepada kuda suaminya dan menjadi pembantu setia dalam urusan rumah tangga.

Sebagai seorang yang bergelar mukminah, wanita harus sedar pergaulan dengan suami bukan sekadar hubungan sosial yang terjadi dengan sendirinya apabila lebih dari seorang individu memulakan urusan hidup.

Tetapi ia adalah satu jalan yang mempunyai terlalu banyak persimpangan, yang mana jika kita tidak tersesat melaluinya, ia membawa seseorang hamba itu sampai ke negeri abadi dan berbahagia di sana selama-lamanya, bahkan perbuatan baik si isteri turut memberatkan timbangan pahala suami apabila dihisab kelak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Jika seseorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, menanti suaminya dan menjaga kehormatannya, maka dikatakan kepadanya, masuklah ke dalam syurga melalui pintu mana saja yang kamu kehendaki” (Hadis riwayat Ahmad dan Thabrani)

Isteri yang cantik di mata suami sudah tentulah yang berupaya memenuhi keinginan suami dalam pergaulan, pertuturan, makan dan minum, pakaian dan keselesaannya sewaktu berada di rumah. Kediaman kemas dan bersih adalah bonus buat suami yang berharap rumah tangganya menjadi syurga paling indah buat dirinya bersama isteri dan anak.

Begitu juga hidangan enak buat santapan ahli keluarga yang sentiasa ternanti-nanti air tangan si isteri atau ibu tidak terbanding makanan lain. Pakaian yang elok dan sentiasa terjaga rapi sudah tentulah menjadi satu keseronokan yang mungkin tidak dapat diperoleh jika tidak beristeri.

Isteri yang taat juga adalah yang tidak berpuasa sunat jika suami ada di sisinya tanpa izin suaminya dan tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke rumahnya tanpa kebenaran suaminya terlebih dulu. Isteri juga tidak berinfak, atau bersedekah dan memberikan harta hasil pencarian suaminya kepada sesiapa tanpa izinnya.

Segala bentuk larangan adalah semata-mata untuk menjaga keharmonian rumah tangga supaya sentiasa sarat dengan kasih sayang dan tidak diganggu oleh anasir yang boleh meruntuhkan kebahagiaan dibina hanya kerana kejahilan isteri terhadap hukum agama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak diperbolehkan seorang wanita berpuasa (sunnah) sedangkan suaminya ada di rumah tanpa izinnya. Dan tidak boleh ia memasukkan orang lain ke dalam rumahnya tanpa izin suaminya. Dan tidak pula berinfak daripada harta suaminya tanpa perintah suaminya, jika infak dikeluarkan, maka separuhnya kembali kepada suaminya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Justeru, gambaran seorang isteri yang cantik di mata suami ialah yang hampir sempurna dalam urusan rumah tangga, bukan yang mengkesampingkan tugas seorang isteri sehingga menyerahkan segala-galanya untuk dilakukan pembantu rumah.

Ia bukan saja menyebabkan rasa tidak puas hati suami dan anak, tetapi juga pembantu yang terpaksa menguruskan semuanya sehingga akhirnya tidak dapat berkerja dengan baik. Wanita Islam yang istiqamah, yang tahu bahawa Allah SWT akan memberikan pahala yang besar kerana ketaatan dan baktinya terhadap suami tidak akan melepaskan peluang terbentang di depan mata.

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah berkata yang maksudnya: “Wanita mana saja yang meninggal dunia, sementara suami reda dengannya, maka ia pasti masuk syurga.”

Isteri yang derhaka kepada suami, solatnya tidak akan diterima dan segala kebaikan dilakukannya tidak akan terangkat ke langit, sehingga suami reda dan memaafkannya, seperti diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Ada tiga jenis orang yang solatnya tidak akan diterima dan tidak pula diangkat kebaikannya ke langit, iaitu hamba sahaya yang lari tuannya sehingga ia kembali, lalu meminta maaf kepadanya. Wanita yang membuatkan suaminya marah sehingga suaminya reda kepadanya serta seorang pemabuk sehingga ia sedar.”

Bagaimanapun, isteri yang benar sudah tentulah boleh menentang suami yang salah dan bermaksiat kepada Allah. Kesabaran dan ketabahan isteri yang sanggup mentaati suami ketika ia benar dan sabar ketika dimarahi suami yang salah kerana tidak mentaati perintahnya akan diberikan pahala oleh Allah.

Isteri yang taat kepada suami adalah wanita yang tidak ingkar terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya. Justeru, menjadi isteri yang cantik di mata suami bukanlah hanya jelita parasnya, tetapi juga memiliki segala keindahan sebagai seorang layak dicintai dengan penuh kasih dan sayang.

Hati cerminan peribadi insan

Ahad, 4 Julai 2010
Al-qalb tempat bertapak keimanan dan kekufuran


MANUSIA diciptakan Allah terdiri daripada beberapa elemen utama sehingga mewujudkan identitinya iaitu jasad, akal, roh, nafsu dan hati. Namun, daripada semua unsur itu, paling penting dalam ajaran Islam yang diambil kira daripada keseluruhan amalan keagamaan adalah intinya, bentuk dalamannya iaitu hati.


Oleh itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

”Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang hati kamu. Sesiapa yang memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang itu. Ketahuilah! Wahai anak Adam orang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu. (Hadis riwayat Muslim dan Tabrani)

Di samping itu, hati manusia juga bertindak sebagai raja bagi keseluruhan anggota badan. Dengan kata lain, baik dan buruk, sejahtera atau sengsara dan sihat atau sakit bergantung kepada kedudukan hati. Jika baik hati, maka baiklah seluruh tubuh lain dan begitulah sebaliknya. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya dalam jasad itu ada segumpal daging. Apabila ia baik, baiklah seluruh jasad. Tetapi, apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah itu ialah hati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, hati memainkan peranan penting dalam mencerminkan dan juga menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi seorang. Hati juga dianggap ejen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia. Tidak berfungsi anggota badan secara keseluruhan kerana terlucut roh yang bertapak dalam hati. Hatilah tempat bertapak iman, takwa, sifat mahmudah, niat dan pada masa lain, di sini juga terletak kekufuran, nifaq dan sifat mazmumah.

Paling menarik, dalam al-Quran perkataan hati disebut al-qalb yang membawa maksud sesuatu yang tidak tetap. Bertepatan dengan konotasi al-qalb, maka hati begitu mudah berubah daripada satu keadaan ke keadaan lain kerana dalam hati ada dua unsur kekuatan yang sentiasa berlawanan antara satu sama lain iaitu antara iman dengan kufur, kebaikan dan keburukan, taat dan ingkar atau hak dan batil.

Rasulullah sentiasa berdoa kepada Allah iaitu: “Ya Allah! Ya Tuhanku! Yang membolak-balikkan hati! Tetapkanlah hatiku di atas landasan agama-Mu.”

Apabila ditinjau dalam al-Quran, banyak ayat membicarakan hal hati terutama hati bersih lagi suci daripada dosa dan maksiat. Hati bersih diterangi cahaya Ilahi dan tidak terselit sedikit pun keraguan dan syirik. Seterusnya, hati bersih yakin segala yang wujud di alam semesta dicipta Allah, sekali gus bertindak sebagai pentadbir mutlak ke atas alam. Hati bersih juga terhindar daripada dendam, dengki, fitnah dan sifat tercela lain.

Dengan kata lain, hati bersih dipenuhi iman, hidayah petunjuk dan takwa. Di dalamnya, sarat dengan gelora kerinduan, kecintaan, ketaatan dan tunduk yang kudus kepada Allah. Justeru, hati menjadi tempat bertapak nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah lain.

Perlu ditegaskan Allah memberikan ganjaran kepada hamba-Nya yang berniat untuk melakukan kebajikan, tetapi Allah tidak pula mencatatkan keburukan ataupun dosa kepada seorang yang hanya berniat di hati untuk melakukannya. Demikianlah betapa Allah bersifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang terhadap hamba-Nya.

Amalan berkesan suburkan hidayah dalam jiwa

PENTING untuk memastikan hidayah tetap terpelihara dalam jiwa kita. Berikut adalah langkah perlu diambil supaya hidayah dalam hati tetap utuh terpelihara.


Doa adalah langkah pertama yang perlu diambil apabila kita inginkan hidayah dalam hati tetap terjaga. Perbanyakkan berdoa dan bermunajat kepada-Nya supaya diteguhkan hidayah dan memohon tidak disentap daripada hati.

Dalam al-Quran, ada serangkap doa berkaitan keperluan kita ini. Firman Allah bermaksud:

“Wahai Tuhan kami, janganlah engkau condongkan hati kami sesudah engkau berikan petunjuk. Dan kurniakanlah kepada kami dari sisi-Mu kerahmatan, sesungguhnya Engkau adalah sebaik-baik pemberi kurniaan.” ( Surah ali-Imran, ayat 8.)

Ini adalah doa yang diajar secara langsung oleh Allah. Adakah doa yang lebih baik daripada ini? Maka kita patut menghafal dan mengungkapnya saban waktu. Terpelihara ataupun tercabutnya hidayah terletak pada kehendak dan kekuasaan Allah. Apabila Allah meneguhkan hidayah, tidak ada yang dapat memesongkannya. Sudahkah kita lupa kisah hati Bilal seteguh batu yang menghenyak dadanya?

Sahabat agung ini diseksa kerana enggan kembali menyembah berhala. Beliau disalai di tengah padang pasir dan ditindih dengan batu. Betapa keras batu yang menindih tubuhnya, teguh lagi hatinya beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Betapa membahangnya panas matahari yang memanggang tubuhnya, lagi membara kecintaannya kepada Allah dan rasul-Nya. Lidahnya tidak henti menutur, “Ahad, Ahad, Ahad” yang membawa maksud, “Yang Maha Esa, Yang Maha Esa, Yang Maha Esa.”

Begitulah hakikatnya hidayah, segala-galanya terletak pada Allah dan kita, tekun berdoa kepada Allah supaya hidayah-Nya terus subur bertapak pada hati.

Ingat mati. Sentiasa mengingati mati memantapkan hati supaya hidayah terpelihara. Maut bertandang tanpa bila-bila masa di mana saja. Bayangkanlah, maut menjengah ketika kita bergelumang dengan maksiat serta iman menjadi reput dengan dosa dan derhaka. Mengingati mati bukan menambahkan kerunsingan jiwa, sebaliknya ibadah menjadi lebih berkualiti dan pergaulan dengan orang lain lebih bermakna serta terpelihara. Apabila ingat mati, kita tawar hati melakukan maksiat, dosa dan berlaku zalim. Kita bimbang maut menjemput sebelum sempat bertaubat.

Berhenti melakukan maksiat penuh keazaman dan keteguhan hati. Sikap ini perlu digenggam demi menghindarkan diri daripada lemas dalam perbuatan dosa. Ingatlah, sekali dihanyutkan arus dosa, kita sukar menyelamatkan diri daripadanya seperti penagih dadah. Mereka mengaku menyesal terjebak dengan dadah, bahkan menangis berharap dapat berhenti mengambil dadah.

Selepas beberapa lama, mereka tidak tahan menahan seksa ketagihan, sekali lagi mengulanginya dan menyesal. Penyesalan saja tidak cukup bagi membebaskan diri daripada melakukan maksiat dan dosa. Tidak ada cara lain, kita perlu berkeras hati untuk berhenti melakukan perbuatan buruk. Jangan menoleh masa lampau yang menuju jurang binasa. Tabahkan hati terus melangkah menuju reda Allah.

I'm going to 20th...

Alhamdulillah..syukur pada Allah s.w.t yang masih menyayangi aku dan memberi kehidupan kepada ku....pejam celik, pejam celik...dah 20 tahun usiaku kini...sudah lanjut usia,

tetapi cukupkah amalanku sebagai hambaNYA di muka bumi ini??

Pasti ramai yang jarang terlintas di fikiran mengenai persoalan ini...betul tak??

Seperti kita sedia maklum, purata umur manusia akan hidup sehingga umur mereka mencecah 70 hingga 80 tahun sahaja...itu pun kalau Allah swt masih sayangkan hambanya...subhanallah....

Setiap tahun, pasti umur kita akan meningkat dari muda ke tua..tapi sedarkah kita pada amalan yang kita jalankan...CUKUP KE???

Tepuk dada, tanya HATI....

Bukan maksud ku ingin berbangga diri kerna hati ini juga banyak kekurangan dan dosa yang telah dilakukan sepanjang hidup...

Kalau kita singkap kembali liku-liku kehidupan kita dari kecil sehingga kini, pasti kita akan menangis kerana  kesal dengan perbuatan lampau...semua manusia yang dijadikan oleh Allah itu cukup kesempurnaannya, sifatnya, aqalnya dan kekuatannya...

Memang benar kata-kata Malaikat.." tidakkah manusia ini akan melakukan kemungkaran dan kemusnahan kepada alam ciptaan Mu??"

Realitinya sekarang kita dapat lihat sendiri di mana muka bumi ini akan hancur disebabkan tangan-tangan manusia sendiri....

Apakah makna sebenarnya MANUSIA diturunkan ke bumi ini oleh Allah s.w.t??

Jadi, sedarlah wahai manusia...hidup ini hanya sementara. Jadi, gunakanlah masa yang ada ini untuk beribadah kepadanya...moga-moga Allah mendengar doa-doa manusia yang ingin bertaubat ke jalannya...INSYA-ALLAH...

So, renung-renungkanlah..siapa diri kita dan layakkah kita untuk masuk ke dalam Syurga ALLAH SWT....


UTM Bloggers


Photobucket
Sah Milik : http://mrundercover90.blogspot.com/. Dikuasakan oleh Blogger.