Prof Madya Dr Basri Ibrahim
Jabatan Syariah, UniSZA.
Menjadi perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan
berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa
Ramadhan yang belum diqadhanya? Ada dua pendapat ulama’ dalam masalah
ini.
Pendapat Pertama:
Boleh melakukannya, berdasarkan
dalil bahawa Aisyah radhiallahu ‘anha pernah mengakhirkan hutang puasa
Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang.
Aisyah ra berkata:
Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu
mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani)
Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no:
1950, penjelasan "kerana sibuk melayani Rasulullah saw" ialah penjelasan
salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]
Para
ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak
mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa
sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau
yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan
berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang
puasa Ramadhan.
Pendapat Kedua:
Tidak boleh
melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam
Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini.
Hadis tersebut bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam
hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu,
kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”.
Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah
seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan
ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah
diiringi dengan puasa sunat enam Syawal. Kalau diperhatikan secara
teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih
menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu,
membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah
yang sunat.
Ini disokong dengan ayat 133 surah Ali Imran yang
menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal
yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat. Namun,
sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk
melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat
mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang
pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.
Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad
dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi
mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir,
maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (‘ala at-tarakhi),
tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih
Muslim 8/22].
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang
tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara
berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan
puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah,
Beirut].
Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.
Di
antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah
harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam
hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut
dengan puasa yang satu? Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan
ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat
puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang
lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang
fardhu dan tidak bagi yang sunat.
Ada dikalangan ulama’
Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi
apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat
menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada
seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah
Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma'rifah, Fatawa
Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]
Al-Khatib Asy-Syarbini
berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa
sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat
(Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut
tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa
yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang
disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi,
khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada
bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut
(menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”.
[Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]
Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu
ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka
juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan
berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul
masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu
apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul
masjid). Wallahu a’lam.
Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa
ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba
yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan
memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan
(sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang
hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati
(ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih
utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh
mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan
puasa sunat yang lain.
Sebagai kesimpulan, puasa sunat
semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet)
mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan
oleh Rasulullah saw. Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat
adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu.
Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah
Rasulullah saw.
Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk
berpuasa enam hari pada bulan Syawal. Sempurnakan dahulu qadha beberapa
hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan
yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa
hadapan. Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk
dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran
berdasarkan niat dan azamnya.
Sebagaimana sabda Nabi saw:
Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak
dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya
pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir
dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]
Semoga kita
semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di
redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan
Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan
orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat.
Hukum Berpuasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.
Tulisan Tangan by
Unknown
at
8/16/2013 07:54:00 PTG
Jumaat, 16 Ogos 2013
Langgan:
Catatan (Atom)
Sah Milik : http://mrundercover90.blogspot.com/. Dikuasakan oleh Blogger.
About Me
My Status
The Undercover Blogger
Total Pageviews
DREAMZ
Gossip!!!
Without right click..
Facebook Badge
Dikuasakan oleh Blogger.