LAZIMNYA apabila selesai satu-satu kenduri kahwin, keluarga tuan rumah pastinya akan demam atau sakit-sakit badan. Masakan tidak, mereka terpaksa menguruskan kenduri dari mula hingga akhir. Pastinya memerlukan tenaga yang banyak.
Jika tidak biasa dengan kerja keras, pastinya badan terasa letih yang melampau sehingga kadang kala boleh menyebabkan tuan rumah jatuh sakit.
Selain itu, rumah tuan rumah pastinya berada dalam keadaan tidak terurus dan memerlukan masa yang lama untuk mengembalikan rumah agar kemas dan bersih selepas majlis kenduri.
Bukan hanya kesan selepas majlis yang terpaksa ditanggung tuan rumah, malah sebelum majlis bermula lagi banyak perkara yang perlu diambil kira bagi melancarkan kenduri termasuk membeli bahan mentah untuk dimasak, menyediakan bahan untuk dimasak dan hidangan yang perlu diatur, akhirnya mencuci dan mengemas semula pinggan mengkuk yang diguna.
Jika tidak biasa mengadakan kenduri, peralatan memasak juga perlu dibeli baru, selain pinggan mangkuk yang mungkin hanya akan digunakan sesekali jika mengadakan majlis semula.
Bagi melancarkan majlis, semakin ramai yang memilih untuk menggunakan khidmat katering bagi mengurangkan masalah penat, selain membolehkan tuan rumah melayan tetamu dengan selesa dan ceria.
Dengan menggunakan khidmat katering, banyak perkara dapat dijimatkan terutama tenaga tuan rumah. Tuan rumah hanya perlu menyambut tetamu tanpa perlu memikirkan mengenai makanan yang belum dimasak atau dihidangkan.
Lazimnya, selepas majlis pula, tuan rumah tidak perlu pening kepala memikirkan rumah yang bersepah dan pinggan mangkuk yang belum dicuci dan penyimpanannya.
Dewasa ini, perniagaan katering wujud seperti cendawan tumbuh. Bukan hanya di bandar, urusan majlis di kampung juga ada yang menggunakan khidmat katering bagi menjumatkan masa.
Langkah awal yang boleh diambil sebelum memilih khidmat katering ialah dengan membaca iklan yang disiarkan dalam akhbar. Pilihlah syarikat yang mempunyai pengalaman dan reputasi yang baik bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini termasuk ditipu.
Tempahlah khidmat katering lebih awal terutama jika majlis bakal dilangsungkan pada musin cuti sekolah atau cuti umum. Ini untuk mengelakkan tempaha ditolak jika dibuat dalam tempoh yang singkat.
Selalunya, harga pakej yang disediakan bergantung kepada menu dan nilai tambah lain termasuklah khemah dan hidangan meja tetamu khas. Justeru ambillah langkah yang bijak dan memilih pakej yang berpatutan dengan bajet yang ditetapkan.
Selain menu, harga pakej turut bergantung kepada jenis perkhidmatan yang disediakan sama ada juadah dihidang secara bufet atau hidangan di meja.
Ada juga pihak perkhidmatan katering yang turut menawarkan sewa khemah, pelamin dan meja tetamu khas dalam pakej yang disediakan dengan harga yang berpatutan.
Jika harganya berpatutan dan sesuai dengan cita rasa, tidak salah kita mengambilnya kerana lebih memudahkan urusan, jika tidak kita terpaksa menempahnya dengan pihak lain.
Janganlah pula, kerana mahukan majlis nampak mewah, kita terpaksa berbelanja besar sehingga menyebabkan kita tidak mampu membayar kos khidmat katering selepas majlis berakhir. Tepuk dada tanya kocek.
Tip-tip :
# Jimat tenaga tuan rumah
# Tuan rumah mempunyai lebih masa untuk melayan tetamu
# Kediaman tidak kotor dan bersepah
# Mengurangkan kos pembelian alat masakan