Dia wajar minta maaf secara 'LIVE'

Isnin, 3 Januari 2011
Wartawan terkenal sebuah stesen televisyen swasta terpaksa melalui saat-saat mencemaskan apabila 'dikepung' oleh sekumpulan lelaki yang naik berang ekoran tindakannya mengeluarkan kata-kata berunsur penghinaan kepada orang Melayu.
 
Dalam kejadian di sebuah restoran di Klang dekat sini beberapa hari lalu, wartawan yang sering muncul di kaca televisyen dengan laporan isu alam sekitar itu mengaku telah mengeluarkan beberapa perkataan boleh membangkitkan isu perkauman.

Antaranya dia mengaku ada menyebut orang Melayu bukan berasal dari Malaysia atau Indonesia serta tidak pintar.

Dia yang dipercayai mengeluarkan perkataan tersebut ketika sedang mabuk mengakui, telah tersalah cakap hingga boleh menimbulkan salah tafsiran.

Berikutan itu dia memohon maaf daripada kumpulan lelaki tersebut serta seluruh masyarakat Melayu di negara ini.

Selama ini, wartawan tersebut berjaya menarik perhatian orang ramai dengan pendedahan berani berhubung isu pencemaran alam sekitar.

Selain itu, dia mendapat penghormatan khususnya daripada orang Melayu kerana kepetahan berpantun dan berperibahasa dalam setiap laporannya.

Insiden membabitkan wartawan itu telah dirakamkan yang dipercayai melalui kamera video telefon bimbit dan disebarkan kepada laman YouTube hingga menarik perhatian pelbagai pihak.

Melalui rakaman selama kira-kira empat minit itu, suasana menjadi panas apabila seorang lelaki meninggikan suara setelah wartawan tersebut tidak mengaku ada mengeluarkan perkataan lain berunsur lucah dan penghinaan terhadap orang Melayu.

Lelaki tersebut dengan suara tegas menyatakan, wartawan itu ada menyebut dua lagi perkataan berunsur penghinaan kepada orang Melayu namun dinafikan sekeras-kerasnya oleh wartawan berkenaan.

"Jangan memperkotak-katikkan apa yang saya tidak cakap," kata wartawan itu dalam nada marah.
Bagaimanapun lelaki tersebut mengherdik wartawan tersebut bahawa dia 'mempunyai telinga' dan mendengar wartawan tersebut ada menyebut dua lagi perkataan berunsur penghinaan.

Dalam rakaman tersebut kelihatan seorang lelaki cuba menenangkan kedua-dua pihak agar bersabar.
Wartawan berkenaan berkata, beliau sanggup sujud di kaki setiap lelaki berkenaan dan dipukul bagi menunjukkan dia benar-benar memohon maaf atas keterlanjuran kata-katanya itu.

Akhirnya wartawan tersebut menyatakan dia mahu beredar dari tempat kejadian tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, satu laporan polis telah dibuat pada 27 Disember lalu oleh kumpulan lelaki tersebut.
"Setakat ini kita hanya menerima laporan daripada pengadu dalam kes berkenaan. Kami juga telah memanggil wartawan tersebut untuk siasatan," katanya.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 504, Kanun Keseksaan kerana melibatkan unsur-unsur perkauman dan provokasi.

Mohamad bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang kes berkenaan kerana ia masih di dalam siasatan polis.

Sementara itu, pihak pengurusan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) menyerahkan kepada polis berhubung laporan dibuat terhadap wartawannya tersebut yang didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur penghinaan kepada orang Melayu.

Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa TV3, Datuk Mohd. Ashraf Abdullah berkata, pihaknya memandang serius perkara yang melibatkan soal sensitiviti kaum.

"Buat masa ini kita serahkan pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.
"Mungkin esok atau lusa pihak kami pula akan melakukan siasatan dan perbincangan mengenai kejadian yang melibatkan wartawan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

~Budi Bahasa Budaya Kita~Kerana Mulut Badan Binasa~

Video wartawan TV3 hina Melayu

UTM Bloggers


Photobucket
Sah Milik : http://mrundercover90.blogspot.com/. Dikuasakan oleh Blogger.