Messi ceria Argentina lepasi ujian pertama

Selasa, 15 Jun 2010


‘Penting untuk kami bermula dengan kemenangan’

JOHANNESBURG: Lionel Messi menyuarakan betapa dia gembira memainkan peranan besar membantu Argentina merakamkan kemenangan 1-0 ke atas Nigeria dalam saingan Kumpulan B di Stadium Ellis Park, kelmarin.

Sungguhpun pemain Barcelona itu gagal menjaringkan gol, dia tetap menjelmakan bahaya dengan lariannya dan mengucar-kacirkan pertahanan Nigeria walaupun gagal menambah kepada tandukan kemenangan Gabriel Heinze. 

Hanya aksi menyelamat menakjubkan penjaga gol Nigeria, Vincent Enyeama menafikan gol buatnya dan Messi memberitahu wartawan selepas itu bahawa dia gembira secara keseluruhan dengan perlawanan menentang Korea Selatan dan Greece yang bakal menyusul.

“Penting untuk bermula dengan kemenangan sambil bermain dengan baik,” kata Messi yang tidak bimbang atas kegagalannya menjaringkan gol.

“Perkara sebegini berlaku tetapi perkara penting ialah kami mengikuti perancangan jurulatih,” kata Messi, tatkala Diego Maradona menurunkan barisan serangan diperkuatkan Carlos Tevez dan Gonzalo Higuain.

Heinze yang gembira mendapatkan gol kemenangan pasukan berkata: “Saya berada di tempat yang tepat pada waktu yang tepat” tambah Heinze. “Saya melihat hantaran tinggi itu dan melayangkan badan ke arahnya,” kata pemain 32 tahun itu.

'Gol bodoh' hukum Algeria

 






POLOKWANE (Afrika Selatan): Kecuaian penjaga gol Algeria, Faouzi Chaouchi, menghadiahkan Slovenia kemenangan 1-0 pada perlawanan pembukaan kedua-dua pasukan itu dalam Kumpulan C, semalam.

Faouzi tersilap percaturan ketika cuba menangkap rembatan ke kanan gawang daripada kapten Slovenia, Robert Koren pada minit ke-79 – kesilapan hampir sama dilakukan penjaga gol England, Robert Green ketika bertemu Amerika Syarikat, kelmarin.

Algeria bermain dengan hanya 10 orang apabila pemain gantian, Abdelkader Ghezzal dibuang padang kerana menampan bola dengan tangan pada minit ke-73. Abdelkader sebelum itu sudah menerima kad kuning pertama selepas 15 minit permainan.

Kemenangan terbabit adalah yang pertama buat Slovenia dalam kempen Piala Dunia selepas mengalami tiga kekalahan pada penampilan sulung di Korea Selatan-Jepun.

Slovenia kini mengungguli Kumpulan C dengan tiga mata – mengatasi Amerika Syarikat dan England yang sekadar seri 1-1 di Rustenberg pada perlawanan pembukaan kumpulan berkenaan.

Pada perlawanan semalam, Algeria yang jelas mempunyai kelebihan, gagal memanfaatkan peluang, dan kedua-dua pasukan tampak bergelut dengan bola baru Piala Dunia yang mudah melantun dan sukar dikawal

UTM Bloggers


Photobucket
Sah Milik : http://mrundercover90.blogspot.com/. Dikuasakan oleh Blogger.