Hina Islam: 150 berhimpun minta Soi Lek minta maaf

Rabu, 24 Oktober 2012
Seramai kira-kira 150 penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di hadapan ibu pejabat MCA hari ini bagi menuntut supaya presiden parti itu, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek meminta maaf atas kenyataan yang didakwa menghina Islam.

Kumpulan berkenaan mengancam akan mengadakan demonstrasi lebih besar dan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya Chua tidak memohon maaf dalam tempoh seminggu.

Tuntutan itu adalah berhubung dakwaan Chua minggu lalu bahawa pekerjaan seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan terjejas – termasuk dalam sektor rumah urut dan perjudian – sekiranya hudud dilaksanakan.

Memorandum berkenaan menyebut, tuntutan itu juga ekoran kenyataan Chua yang mendakwa lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.

 Chua juga pada Sabtu lalu mempertahankan kenyataan naib pengerusi Wanita MCA Heng Seai Kie yang mendakwa PAS menbenarkan merogol wanita bukan Islam sekiranya mereka tidak mematuhi kod etika pakaian Islam.

Tuntutan itu dinyatakan dalam satu memorandum yang diserahkan kepada setiausaha kerja pemuda MCA, Leonard Tan Soon Huat di perkarangan bangunan tersebut.

Perhimpunan selama kira-kira 40 minit itu antara lainnya dipimpin ahli jawatankuasa pusat PAS Idris Ahmad, ketua penerangan Pemuda PAS Riduan Mohd Noor, ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Md Akin dan juga pemimpin NGO Jingga 13.

 Turut menjadi perhatian dalam perhimpunan tersebut ialah pelakon Abby Abadi yang turut serta melaungkan slogan "Hidup Islam" dan "Hidup Rakyat".Kumpulan berkenaan juga membawa sepanduk bertulis "Jangan Hina Islam" dan "Soi Lek Wajib Minta Maaf".

Dalam memorandum berkenaan, Pemuda PAS menegaskan bahawa kenyataan Chua sebelum ini menimbulkan rasa tidak senang dan mengganggu keharmonian kaum di negara ini.

Memorandum itu turut menyebut penghinaan terhadap Nik Aziz juga merupakan penghinaan terhadap rakyat Kelantan serta bangsa Melayu.

 "Datuk Seri sebagai pemimpin parti komponen BN sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat di negara ini dengan menghormati amalan agama dan kepelbagaian bangsa dan kaum di negara ini," memorandum itu dipetik.

Pada sidang media selepas itu, setiausaha agung Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil mempersoalkan fungsi beberapa NGO yang sebelum ini lantang memperjuangkan Islam.

"Mana JATI (Jalur Tiga)? Mana PERKASA? Yang kata nak pertahankan Islam? Bila Soi Lek cakap begitu, diam seribu bahasa.

"Kalau terus hina agama Islam, pemimpin Islam, kita akan tawar diri untuk dijadikan benteng pertahankan agama Islam," katanya.

p/s: Kalau benda mcm ni, PM nak peluk tubuh dan butakan mata serta pekakkan telinga je ke??

UTM Bloggers


Photobucket
Sah Milik : http://mrundercover90.blogspot.com/. Dikuasakan oleh Blogger.