MEIRELES (kiri) melompat selepas menewaskan penjaga gol Korea Utara, Ri Myong-guk dalam saingan Kumpulan G, malam tadi.
Kebangkitan Ronaldo, rakan-rakan akhiri cabaran Korea Utara
CAPE TOWN: Portugal meraikan kejayaan terbesar mereka dalam sejarah Piala Dunia apabila berpesta gol menewaskan Korea Utara 7-0 dalam perlawanan Kumpulan G, malam tadi yang turut menamatkan harapan pasukan Asia itu.
Portugal mendahului menerusi Raul Meireles pada minit ke-29 sebelum mengganas di babak kedua dengan tiga gol dalam tempoh tujuh minit menerusi Simao Sabrosa (m-53), Hugo Almeida (m-56) dan Tiago (m-60).
Pasukan ranking ketiga dunia itu kemudian melengkapkan kemenangan bergaya dengan menambah tiga lagi jaringan lewat menerusi Liedson (m-81) dan Cristiano Ronaldo (m-87) – jaringan pertamanya untuk Portugal dalam tempoh dua tahun – sebelum Tiago menambah gol kedua peribadi seminit sebelum tamat.
Portugal pernah menjaringkan lima gol ketika ketinggalan 3-0 sebelum bangkit menewaskan Korea Utara 5-3 pada suku akhir Piala Dunia 1966, dan hampir menyamai kemenangan besar Brazil ke atas Arab Saudi 8-0 pada 2002.
“Keputusan yang terpuji tetapi kami mempunyai perlawanan lagi dan belum memenangi apa-apa lagi. Sekarang kami perlu memikirkan untuk layak ke pusingan seterusnya, satu perlawanan lagi dan cuba menang dengan corak yang dipamerkan dalam perlawanan ini,” kata jurulatih Portugal, Carlos Queiroz
0 Kata Kau:
Catat Ulasan