Suatu pagi di sebuah kampung yang sunyi dan sepi bernama Kampung Baru Semin yang terletak di Rembau N9 kedengaran sebuah tangisan bayi yang baru dilahirkan memecah keheningan di pagi hari. Seorang bayi lelaki yang di sambut dengan kegembiraan dan air mata itu adalah aku sendiri. Aku dibesarkan di dalam keluarga yang sederhana dan diberi didikan agama yang sempurna oleh kedua orang tuaku. Seperti kanak-kanak lain aku juga di hantar ke sekolah untuk mencari ilmu. Aku juga boleh dikategorikan seorang pelajar yang bijak kerana selalu mendapat markah yang tinggi ketika peperiksaan serta mendapat pujian dari guru-guru sehinggakan aku mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Banyak tawaran belajar dari university tempatan ku terima tetapi aku memutuskan untuk menyambung pelajaranku di sebuan university di KL kerana aliran yang ditawarkan bersesuaian dengan minatku. Orang tuaku tidak menghalang malahan menyokong sepenuhnya keputusan yang telah ku ambil. Berbekalkan sedikit duit dan keperluan harianku, aku berangkat ke KL dengan niat serta azam yang kuat untuk Berjaya dalamm hidup serta menharumkan nama kedua orang tuaku kerana sememangnya diriku ini menjadi satu-satunya harapan keluarga.
Bermulalah episode kehancuran pada diriku setelah aku mengenali Mat Bon yang juga adalah teman sekamarku di asrama Universiti. Kira-kira 3 minggu aku belajar di sini, aku meluahkan perasaan tertekanku kepada Mat Bon. Terlalu sukar untukku menerima pelajaran yang bagiku sesuatu yang baru dan pertama kali aku pelajari. Mat Bon menawarkan aku sebatang rokok dan katanya merokok dapat mengurangkan tekanan yang sedang aku alami. Masihku ingat kata-katanya, “Takkan ada apa-apa yang berlaku dengan menghisap sebatang rokok, kalau kau tak percaya kau cuba…gerenti masalah kau hilang…” Aku menolak dengan baik kerana sememangnya aku tidak pernah merokok. “Kalau tak hilang masalah kau lepas kau hisap rokok ni, jangan kau panggil aku Mat Bon!” kata Mat Bon lagi kepadaku. Termakan oleh kata-katanya aku tanpa berfikir panjang terus menyambut rokok yang dihulurkannya sambil dia menyalakan apinya. Aku terus menyedut asap rokok itu dengan rakus da gelojoh kerana sememangnya aku memang tidak tahu cara menghisap rokok. Tidak sampai setengah batang rokok yang ku hisap, kepalaku mula rasa ringan dan berputar-putar pandangan mataku. Tanpa ku sedari yang rokok itu telah di campur dengan sejenis dadah yang dipanggil ‘ganja’ oleh Mat Bon.
Aku mula dapat merasakan perubahan pada diriku, timbul perasaan gembira dalam hati secara tiba-tiba membuatkan bibirku sentiasa tersenyum. Keyakinanku juga turut bertambah. Aku tidak ingat bilakah masanya aku tertidur kerana apabila aku sedar sahaja hari sudah menjelang tengahari. Aku tidak ke kuliah hari itu kerana terlewat bangun. Sejak hari itu aku mula merasa seronok menghisap rokok yang telah dicampur dengan ganja walaupun telah diberitahu oleh Mat Bon. Aku tidak kisah lagi kerana keseronokan yang aku dapat dengan menghisap ganja mengatasi segalanya. Tanpa aku sedari, tingkah laku serta sikapku juga turut berubah. Aku sudah pandai berbohong dengan meminta duit daripada orang tuaku di kampong dengan alasan ingin membeli buku serta keperluan harian sedangkan duit itu hanyaku gunakan untuk membeli ganja. Aku kini lebih suka melepak dengan teman-teman sekepala daripada menghadiri kuliah. Aku juga sudah pandai mencuri apabila kesempitan wang untuk membeli ganja. Dengan paras rupaku yang boleh dikatakan menarik aku dengan senang dapat memperdayakan gadis-gadis untuk dijadikan tempat meminta duit serta melepaskan nafsu. Akhirnya aku diberhentikan oleh pihak university kerana kerap ponteng dan prestasi pelajaranku juga merosot dengan teruk sekali.
Seperti orang yang baru terjaga daripada tidur aku mula dihambat perasaan hampa dan menyesal dengan apa yang telah berlaku. Segala-galanya terasa gelap bagiku apabila memikirkan tentang keluarga di kampong. Apakah perasaan orang tuaku setelah mereka tahu aku telah dibuang daripada university. Aku mula merasa tertekan dan aku membulatkan tekad untuk terus menetap di KL kerana takut berhadapan dengan kedua orang tuaku. Aku menumpang di rumah teman sekampungku di Taman Keramat. Biarlah ku namakan temanku ini dengan nama Z sahaja. Z adalah teman yang sebaya denganku dan kami juga pernah bersekolah di sekolah yang sama sejak dari kecil. Jadi aku tidaklah merasa malu sangat untuk menceritakan masalahku kepadanya. Z tidak keberatan apabila aku menyatakan yang aku mahu menyewa bersamanya asalkan aku sanggup bekerja serta membayar sewa rumah bersama-sama. Lega hatiku mendengar penjelasan daripada Z. setelah puas aku mencari kerja akhirnya aku di terima bekerja di sebuah kedai membaiki kereta berhampiran dengan rumah sewaku. Bulan pertama aku bekerja, aku mula merasa gembira kerana sudah boleh mencari duit sendiri kerana sebelum ini aku hanya bergantung kepada kedua ibu bapa ku saja. Tiada siapa lagi yang akan menghalang aku kerana pada fikiranku duit yang ku cari adalah hasil titik peluhku sendiri. Aku mula merasa hidupku bebas semula.
Suatu hari aku balik awal daripada biasa kerana badanku tidak sihat dan apabila sampai ke rumah ku lihat pintu rumah tidak berkunci. Sangkaanku tentulah Z sudah balik jadi aku terus ke rumah tanpa memanggilnya. Aku terus ke bilik Z untuk mengajaknya ke klinik kerana Z mempunyai motosikal sendiri. Aku sudah tidak larat menaiki bas lagi. Aku membuka pintu bilik Z yang tidak berkunci dan aku seperti tidak percaya dengan apa yang sedangku lihat. Z sedang menghisap sesuatu bersama seorang perempuan. Rupa-rupanya Z adalah seorang penagih dadah jenis heroin. Melihatkan tiada sebarang reaksi daripadaku Z terus mempelawa aku masuk ke dalam biliknya dan memperkenalkan aku dengan perempuan di sebelahnya yang bernama Mia. Pada pandanganku Mia bukanlah teman wanita Z kerana Mia tanpa segan silu mengajak aku duduk bersebelahan dengannya. Mia juga adalah seorang penagih heroin rupa-rupanya. Dia mempelawa aku menghisap heroin bersama-samanya sambil menghulurkan sekeping timah dan sekeping duit yang telah digulung untuk dijadikan alat penyedut asap heroin. Z menerangkan kepada Mia yang aku tidak pernah menghisap dadah jenis heroin ini. Mia mentertawakan aku membuatkan aku rasa tercabar dibuatnya. Egoku membuatkan aku rasa tidak mahu kalah kepada seorang perempuan cantik seperti Mia. Tanpa berfikir panjang aku meminta Z mengajar aku cara-cara menghisap heroin. Kata Z ada dua cara mengambil dadah jenis heroin ni, pertama menggunakan jarum suntikan dan kedua dengan membakarnya di atas sekeping timah. Asap yang terbakar itulah yang akan disedut menggunakan duit kertas yang telah digulung seperti yang ku lihat Z dan Mia lakukan. Akhirnya dapat juga aku buktikan kepada Mia yang aku juga boleh menghisap dadah jenis heroin ini seperti tanpaku sedari apakah akibatnya perbuatanku ini.
Rupa-rupanya kesan pengambilan heroin ini lebih menyeronokkan daripada mengambil dadah jenis ganja. Tubuh badanku terasa seperti di awing-awangan. Aku rasa lebih segar dan bersemangat sekali serta perasaan yang tidak ada ketika aku tengah normal membuatkan aku menghisapnya lebih banyak. Akhirnya aku sendiri tidak tahu bila aku terlelap kerana terlalu banyak mengambilnya. Sesedarnya aku dari lena aku dapati Mia tidur di sebelahku tanpa seurat benang pun pada kami. Begitulah kuatnya kesan pengambilan heroin sehinggakan apa yang telah kami lakukan tanpa kami sedari. Sejak daripada itu aku terus mengambil heroin setiap hari dengan bantuan Z dan Mia. Daripada perasaan suka-suka menghisap heroin aku sudah pandai mengeluarkan duit hasil berkongsi bersama dengan mereka membeli dadah. Semakin lama semakin jauh aku terjebak dalam kancah penagihan heroin, dari seminggu sekali ke sehari sekala, setiub sehari ke beberapa tiub sehinggalah tidak dapat ku kira lagi. Selagi ada barang selagi itulah aku terus-menerus menghisapnya. Tanpa ku sedari diriku liar semula akibat pengaruh dadah. Disko, perempuan, melepak menghisap dadah dengan teman-teman sepenagihan menjadi rutin harianku. Orang tuaku, azamku, kerjaku semuanya sudah tidak kufikirkan lagi kerana apa yang penting bagiku kini hanyalah perempuan dan dadah.
Keseronokan yang ku rasakan akhirnya membawa padah pada diriku. Aku kerap pontengkerja dan selalu masuk lambat kerana sebelum bekerja aku akan pergi mengambil ‘barang’ dahulu. Diriku sudah tidak terurus lagi dan pada suatu hari aku diberhentikan kerja oleh majikanku. Aku langsung tidak kisah diberhentikan kerana sememangnya sudah timbul perasaan malas dalam diriku untuk bekerja. Akibatnya duit dalam simpananku semakin berkurangan dan akhirnya aku kehabisan duit untuk membeli ‘barang’ tersebut. Akibat tidak mengambil ‘barang’ pada hari itu badanku mula merasa tidak sihat. Badan serta sendi-sendiku terasa sakit dan lemah, aku juga mengalami muntah-muntah dan panas badan. Hari itu aku hanya berehat sahaja di rumah sehinggalah Z pulang membawa ‘barang’ tersebut. Z menerangkan kepadaku yang aku kini sedang ketagihan kerana tidak mengambil ‘barang’. Sesuatu yang tidak pernah ku fikirkan dan kuambil tahu selama ini. Barulah aku tahu apa itu ertinya yang selalu dikatakan orang dengan ketagihan ‘barang’. Selepas sahaja beberapa kali menyedut asap heroin penyakit yang ku hidap tadi terus hilang membuatkan aku merasa hairan.
Menyesal kemudian tiada gunanya itulah yang diibaratkan dengan diriku. Dari perasaan suka-suka mengambil ‘barang’ tersebut akhirnya menjadi satu keperluan harian pada diriku pula kerana ketagihan. Bagi menampung perbelanjaan membeli ‘barang’ dan kerana aku sudah tidak bekerja lagi aku mula melakukan jenayah secara serius. Mencuri, merompak, samun serta apa saja jalan bagi mendapatkan duit pasti akan ku lakukan kerana satu sahaja yang ku fikirkan hanyalah duit untuk membeli ‘barang’ bagi mengelakkan aku ketagihan. Lama-kelamaan dari menggunakan timah aku telah beralih ke jarum suntikan kerana aku rasa lebih khayal serta tahan lebih lama. Aku juga tidak menghiraukan sesiapa lagi, ibu bapaku serta keluargaku sudah lama ku lupakan. Ingatanku hanya pada ‘barang’ tersebut. Aku juga sudah tidak mampu lagi membayar sewa rumah dan akhirnya aku telah di halau keluar oleh Z sendiri yang aku sangkakan teman susah senangku. Kaki lima, bawah jambatan atau apa saja tempat yang boleh ku berteduh dari hujan dan panas menjadi rumahku. Tiada lagi perasaan malu dan segan dalam diriku.
Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, itulah yang diibaratkan dengan diriku kerana sepandai-pandai mana pun aku mengelakkan diri dari di tangkap polis akhirnya aku tertangkap juga ketika sedang berurusan membeli ‘barang’. Buat pertama kalai dalam hidupku aku dimasukkan ke dalam penjara kerana memiliki dadah dan aku dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah selama dua tahun. Ketika aku menjalani hukuman penjara aku diajar berbagai cara memulih serta mengenali diri sendiri. Aku juga terpaksa mengikuti program-program dan seminar yang begitu ketat dan aku juga terpaksa menjalani kehidupan yang ditentukan oleh peraturan-peraturan dan arahan pegawai penjara sama ada aku suka atau tidak. Kehidupan di dalam penjara juga penuh dengan masa yang terhad serta begitu jauh sekali berbeza dengan kehidupan di luar. Aku terpaksa akur menempuhi hari-hari yang mendatang walaupun hidupku bagaikan seekor burung di dalam sangkar. Lama-kelamaan aku jadi biasa dengan keadaanku dan aku juga pelajari pelbagai ilmu untuk aku bawa setelah aku dibebaskan nanti. Dihatiku juga sudah mula terbit bibit-bibit keinsafan. Aku juga banyak mendalami ilmu agama daripada kawan-kawan serta Ustaz semasa di penjara.
Aku telah mula sembahyang lima waktu yang selama ini telah aku tinggalkan. Fikiranku mulai tenang dan banyak perubahan sikap berlaku pada diriku. Aku mula merasai perasaan menyesal sedikit demi sedikit bertapak dihatiku. Satu persatu peristiwa lalu ku singkap, ibubapaku, keluargaku, pelajaranku, masa depanku membuatkan aku menitiskan air mata. Ya Tuhan…, betapa hancurnya hati orang tuaku apabila mendapat tahu anak yang selalu difikirkan baik dan sempurna ini rupa-rupanya adalah seorang penagih dan penjenayah. Betapa malu dan tercalarnya maruah keluargaku andai mereka tahu apa yang terjadi kepadaku. “Tuhanku…, mengapa begini sekali ujian yang kau berikan padaku, kau berikanlah kekuatan dan ketenangan untukku menempuhi hari-hari yang mendatang…” itulah kata-kataku setiap kali aku berdoa sambil air mata ku tidak dapat ku tahan setiap kali aku selesai sembahyang. Aku betul-betul menyesali perbuatanku yang lalu. Andai dapat ku undurkan masa pasti tidak akan aku jejakkan kaki ke kancah kehancuran ini. Apakah dayaku untuk mengubah semua yang terjadi, aku bersyukur kerana aku tidak terlajak lebih jauh lagi dan masih mempunyai peluang untuk mengubah masa depanku serta meminta ampun dan maaf daripada orang tua serta keluargaku.
Apakah mereka dapat memaafkan aku dan menerima diriku ini seorang bekas penagih dadah atau mereka akan membuang diriku ini daripada hidup mereka. Walau apa pun yang akan terjadi nanti aku akan menerima seadanya. Aku memasang azam dan cita-cita yang aku tidak akan jejakkan kaki ke kancah penagihan lagi serta akan ubah kehidupanku yang selama ini penuh dengan dadah dan dosa. Dadah telahku buang jauh daripada ingatanku dan apabila aku bebas nanti akanku terangkan kepada rakan-rakan yang sepertiku beginilah akibatnya menjadi seorang penagih. Tidak berbaloi keseronokan yang sementara itu jika dibandingkan dengan penderitaan yang akan ditanggung seumur hidup. Aku tidak mahu ada insane lain lagi yang akan menerima nasib sepertiku dan ingatlah wahai teman-temanku, janganlah sesekali terjebak ke alam penagihan yang tiada faedah dan kebaikannya melainkan kesengsaraan. Semoga azam dan cita-citaku dimakbulkan Tuhan…amin…
0 Kata Kau:
Catat Ulasan