Nilai positif dalam dunia kompetitif amat penting untuk negara terus bersaing, membangun
ISLAM adalah agama yang memberi penumpuan penting kepada pembentukan akhlak di kalangan umat manusia. Akhlak membina diri manusia menjadi seseorang yang tunduk kepada kebenaran Ilahi, memiliki sifat suci dari segi sifat dalaman peribadi dan personaliti luaran, sekali gus meminati cara pergaulan dan perhubungan sesama manusia dengan penuh tolak ansur.
Menghayati ciri akhlak itu sudah pasti dapat melahirkan manusia berbudi pekerti tinggi dan disertai dengan sifat berdaya maju. Nabi Muhammad SAW, mengikut Islam diutuskan oleh Allah SWT dan antara tugas utamanya ialah mengajar manusia supaya memiliki akhlak mulia.
Baginda bukan saja memberi pengajaran berkaitan pembinaan akhlak manusia malah menjadikan hidupnya sebagai contoh untuk diteladani. Cara sedemikian lebih berkesan daripada peningkatan kefahaman saja. Islam yakin mendidik manusia untuk mudah diikuti melalui dua pendekatan, iaitu kefahaman dan perbuatan. Akhlak tinggi dimiliki seseorang individu, melahirkan insan yang berguna kepada masyarakat dan negara. Seseorang yang berakhlak tinggi adalah aset kepada negara. Akhlak tinggi sepatutnya melahirkan individu bersifat maju dan progresif yang berperanan secara positif kepada semua aspek pembangunan masyarakat.
Oleh kerana individu menganggotai masyarakat, keutuhan masyarakat didokong oleh individu. Bahkan kekuatan dan kemajuan masyarakat dan negara akan ditentukan oleh anggota masyarakat. Justeru, dalam usaha kerajaan memajukan negara, nilai akhlak rakyat perlu diberi penumpuan. Bahkan keutuhan akhlak pemimpin dan rakyat adalah syarat kepada pembangunan negara.
Pada zaman sekarang, di mana arus dan pengaruh nilai kebendaan begitu ketara dalam budaya hidup masyarakat Malaysia, usaha untuk menyatupadukan nilai akhlak dalam kehidupan dan kegiatan individu jika tidak dapat ditingkatkan akan menimbulkan gejala besar pada masa akan datang.
Tamadun silam sudah terbukti, begitu juga dengan sekarang di mana tanpa keutuhan akhlak, sesebuah negara akan bermasalah.
Kemajuan ekonomi negara tidak boleh dilihat sebagai satu dimensi berasingan yang tidak memerlukan keutuhan akhlak.
Bahkan nilai akhlak seperti yang dijelaskan di atas sangat perlu dalam memantapkan kemajuan ekonomi berterusan. Jika asas akhlak disepadukan dengan usaha kemajuan masyarakat termasuk ekonomi, ia akan mewujudkan satu tamadun manusia komprehensif yang mampu mengurangkan kewujudan gejala masyarakat seperti rasuah, keruntuhan institusi keluarga, penindasan, kemiskinan, penyakit mental dan sebagainya.
Rajin, tekun, amanah, bersifat kemanusiaan, bekerjasama dan sebagainya adalah nilai akhlak murni yang perlu dimiliki individu yang berkecimpung dengan urusan ekonomi. Kecekapan dan produktiviti tinggi adalah hasil penghayatan akhlak mulia.
Dalam dunia kompetitif, ciri ini penting untuk mewujudkan daya saing dalam bersaing dengan negara lain, bagi mempengaruhi pasaran barangan dan perkhidmatan. Dalam tamadun kebendaan barat, kita dapati daya saing mereka makin bertambah malap.
Ini pada hemat saya kerana akhlak masyarakat barat dewasa ini menghadapi peringkat krisis yang sangat ketara. Jika keadaan ini berterusan, kemampuan barat mempertahan kedudukannya sebagai negara maju tidak akan dapat dikekalkan.
Jelas daya saing ekonomi yang dimiliki mereka terhakis dengan keruntuhan akhlak di kalangan ahli masyarakat mereka sendiri. Keadaan begitu terpaksa berlaku bukan di atas kehendak masyarakat barat, sebaliknya hasil cara dan pendekatan pandangan hidup mereka yang berteraskan kepada pencapaian kemajuan kebendaan tanpa kesepaduan dengan nilai akhlak.
Islam menganjur kepada asas akhlak dengan semua kegiatan manusia termasuk politik, ekonomi dan sebagainya. Di samping penekanan kepada akhlak individu, Islam menitik berat kepada asas keadilan dalam struktur penyusunan pengendalian masyarakat bernegara. Asas keadilan dari segi rohnya hendaklah dijadikan panduan dalam menyusun jentera pengendalian masyarakat.
Islam sentiasa memberi penumpuan kepada kemajuan masyarakat. Kemajuan yang menyeluruh hanya dapat dicapai melalui dua asas penting iaitu pembentukan akhlak individu dan penyusunan masyarakat berteraskan keadilan.
Malangnya kedua-dua unsur itu gagal dihayati umat Islam. Kegagalan ini menyebabkan mereka berada di belakang masyarakat barat dalam pelbagai aspek. Justeru, umat Islam jika mahu menerajui dunia, pembinaan akhlak individu dan penyusunan hidup bermasyarakat yang berasaskan asas keadilan perlu menjadi kenyataan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Sah Milik : http://mrundercover90.blogspot.com/. Dikuasakan oleh Blogger.
About Me
My Status
The Undercover Blogger
Total Pageviews
DREAMZ
Gossip!!!
Without right click..
Facebook Badge
Dikuasakan oleh Blogger.
0 Kata Kau:
Catat Ulasan