Saudara                Pendengar Sekelian, 
Setiap                orang yang mengaku beriman dengan kebesaran Allah pasti akan bergembira                apabila tiba bulan Ramadhan Al Mubarak di setiap tahun. Ini disebabkan                Ramadhan satu-satunya bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan                yang tidak terdapat di dalam bulan-bulan yang lain, oleh sebab itu                Rasulullah s.a.w. menjelaskan Ramadhan adalah penghulu kepada sebelas                bulan yang lain. Hanya orang yang kenal kelebihan Ramadhan sahaja                yang akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini. Betapa                besarnya fadilat bulan Ramadhan ini dapat kita fahami dari hadis                Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim                yang bererti: 
Apabila                masuk bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup                pintu-pintu neraka serta diikat semua iblis dan syaitan.
                Oleh kerana itu apabila seorang melangkah masuk ke bulan Ramadhan                bererti mereka memasuki gerbang pertapaan yang penuh dengan ujian                dan latihan. Kerana itu sudah sewajarnyalah kita membuat persiapan                yang perlu dari segi rohani dan jasmani iaitu. 
1.                Mengulangi kembali pelajaran-pelajaran yang berkaitan dengan puasa                agar kita memasuki dan menjalani amalan puasa ini dengan pengetahuan                dan yang dibaharui dengan pedoman-pedoman yang baik serta pengalaman-pelangalam                yang baru dan sempurna. Pelajaran-pelajaran itu hendaklah yang berhubung                dengan rukum, syarat sah, syarat membatalkan puasa, perkara-perkara                sunat, makruh, abad berpuasa dan hikmat yang terkandung serta perlaksanaan                ibadat puasa yang merupakan ibadat yang istimewa ini.
2.                Membuat persiapan dari segi Rohani rasa hati dan ketenangan jiwa                dalam menghadapi bulan puasa sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah                s.a.w. dan para sahabat baginda. 
3.                Membanyakkan doa moga-moga Allah memberikan kesihatan, tenaga, kelapangan                dan kesempatan mengerjakan puasa dan mudah-mudahan Allah memberikan                taufik dan hidayahNya supaya kita dapat menunaikan puasa dengan                hati yang jujur, tulus ikhlas dijauhi dari riak, ujub dan dari segala                rupa penyakit yang menghilangkan pahala puasa. 
4.                Menguatkan semangat dan hemat untuk melaksanakan latihan yang akan                kita jalani sepanjang bulan ini dengan sempurna agar kita memperolehi                kesan yang dimaksudkan iaitu peningkatan ketaqwaan kita kepada Allah                s.w.t. 
Bulan                puasa itu merupakan bulan latihan berjihad memerangi hawa nafsu                yang loba dan tamak. Bulan puasa adalah bulan bercucuk tanam untuk                akhirat, bulan menghasilkan bekalan untuk hari kemudian, bulan membersihkan                dan menyuci diri dari berbagai dosa dan noda serta menghiasi diri                dengan budi yang tinggi dan pekerti yang luhur. 
Maka                oleh itu hendaklah kita menyediakan diri kita dalam melaksanakan                hak puasa dengan perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang                baik dengan sepenuh hati, jujur dan ikhlas semata-mata kerana Allah.                
Kita                hendaklah berusaha menyediakan diri untuk menjaga benih-benih amal                yang kita tanam di bulan Ramadhan itu kerana seorang yang menanam                benih jika tidak membaja, menyiram serta memelihara pasti tidak                akan mengeluarkan hasil yang baik apabila datang masa menuai tegasnya                semasa berhadapan dengan Allah s.w.t.
Kita                hendaklah mengelakkan daripada kebiasan-kebiasan yang memberatkan                dan merugikan diri kita seperti berbelanja berlebihan, boros, suka                berhibur, membuang masa dan bersembang yang tidak mendatangkan faedah                kerana perkara-perkara tersebut adalah bertentangan dengan hikmat                berpuasa. Sebaliknya hendaklah kita menyambut bulan puasa dengna                cita-cita dan azam yang tinggi membanyakkan ibadah samada siang                atau malam hari dengan kemahuan hendak melatih diri serta mensucikan                jiwa.
Kita                hendaklah mengucapkan tahniah di atas kedatangan bulan Ramadhan                itu kerana ianya merupakan hak muslim ke atas muslim. Rasulullah                S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud:
Daripada                hak seorang muslim kepada muslim yang lain ialah apabila mereka                menerima kebaikan hendaklah kita mengucapkan tahniah.
Diriwayatkan                oleh Ahmad dan Nasaie daripada Abi Khurairah bahawa Rasulullah s.a.w.                sentiasa menggembirakan para sahabat di atas kedatangan bulan Ramadhan,                bulan yang membawa rahmat serta nikmat yang tidak terhingga kepada                mereka yang berpuasa, bulan melebur dosa dan memerdekan hambanya                dari azab api neraka.
Rasulullah                s.a.w. menggembirakan para sahabatnya dengan sabda baginda: 
Ertinya:                Sesungguhnya akan datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati,                Allah mewajibkan kamu berpuasa di dalamnya. Pada bulan Ramadhan                dibuka pintu-pintu syurga, dikunci semua pintu neraka, dibelenggu                semua syaitan. Di malamnya ada satu malam yang lebih baik daripada                seribu bulan. Barangsiapa yang tidak memperolehi kebajikan pada                malam itu berertilah diharamkan baginya segala kebaikan untuk dirinya.                
Terkadang-kadang                Rasulullah s.a.w. mengucapkan kepada para Sahabat ucapan yang bermaksud:                
Telah                datang kepada kamu bulan Ramadhan Penghulu segala bulan , maka selamat                datanglah kamu kepadaNya. Maka telah datang bulan puasa membawa                segala macam keberkatan. Oleh yang demikian muliakan tetamu yang                datang itu dengan seberapa baik. 
Daripada                hadis-hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan:-
Bahawasanya bulan Ramadhan adalah bulan istimewa bulan yang penuh                dengan keberkatan dan rahmat dari Allah s.w.t. Sewajarnyalah setiap                muslim mengambil kesempatan daripada ketibaan bulan Ramadhan Al                Mubarak ini dengan memperbanyakkan amal-amal soleh samada disiang                hari atau dimalamnya.
Bulan                Ramadhan adalah bulan pendidikan dan latihan maka setiap orang yang                menerima kedatangan bulan Ramadhan ini hendaklah membuat persiapan                yang sekucupnya samada dari segi jiwa, fizikal dan spiritual.
 
 
 
 
 
 
 
 

 
